Kuala Lumpur: Selepas Zulfahmi Khairuddin mencipta nama selama
empat musim pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia, Amirul Hafiq
Mohd Azmi bakal mengikut jejak pelumba Red Bull KTM Ajo dan dijangka
membuat penampilan penuh pada musim pertama di saingan Moto3 tahun
depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali
yang mengesahkan perkembangan terbaru itu berkata, Amirul Hafiq sememangnya
sudah berada dalam perancangan pihaknya untuk mengikut jejak langkah Zulfahmi
dan hampir pasti beralih ke saingan Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan.
Beraksi pada musim penuh pertama di Kejuaraan CEV Repsol Sepanyol ketika
ini bersama pasukan Touchline SIC Ajo, Amirul Hafiq pada pandangan Razlan amat
berbakat dan tidak mustahil dapat menempa kejayaan melebihi pencapaian Zulfahmi.
“Pengalaman semusim di Kejuaraan CEV Repsol Sepanyol dan dua musim di Piala
Rookie Red Bull sebelum itu sudah mencukupi untuk Amirul Hafiq memulakan
kariernya di saingan MotoGP.
“Saya tidak pernah meragui kemampuannya dan atas sebab itu, kami di SIC sudah
mempunyai perancangan rapi untuk membawanya ke Kejuaraan Motosikal Dunia
pada musim depan,” katanya.
Razlan berkata, SIC sentiasa memberi peluang kepada setiap pelumba untuk
mengikuti jejak Zulfahmi asalkan mereka benar-benar komited dalam karier
perlumbaan masing-masing.
AMIRUL (kanan) mengejar Mohd Affendi Rosli (kiri) dan Md Ramdan Md Rosli.
“Contohnya seperti ditunjukkan Zulfahmi dan Amirul Hafiq. Mereka memanfaatkan
peluang diberikan dengan baik,” katanya.
Selepas lima pusingan, Amirul Hafiq menduduki tempat ke-24 kedudukan pelumba
dengan mengumpul lapan mata.
0 comments:
Post a Comment