BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, September 14, 2013

Wajah baru, misi sama

London: Tottenham Hotspur akan memulakan kempen pertama tanpa
 khidmat Gareth Bale dengan menentang Norwich City di laman sendiri
malam ini dan kebolehan mereka bakal diperhati sama ada mampu meraih
salah satu slot ke Liga Juara-Juara tahun depan.
Penjualan Bale ke Real Madrid menerusi nilai yang mencecah rekod dunia mendominasi
penutupan tirai perpindahan pemain buat Spurs tetapi penjualan itu turut membolehkan
 mereka membawa masuk tujuh muka baru ke White Hart Lane.

Pada musim lalu, Bale dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh Persatuan
Pemain Profesional serta Persatuan Penulis Bola Sepak England tetapi Tottenham
hanya mampu menamatkan musim di tangga kelima sekali gus terlepas aksi Liga
 Juara-Juara.

Kini, pengurus Andre Villas-Boas berharap muka baru yang dibawa masuk itu
mampu bergerak sebagai satu pasukan dalam masa terdekat kerana beliau sedar
harapan untuk membawa Spurs ke Liga Juara-Juara berada di bahunya.

“Objektif kami tetap sama iaitu mahu ke Liga Juara-Juara,” katanya. “Kami tidak
 pernah memikirkan soal lain. Ia adalah keperluan paling minimum terhadap apa
yang mampu kami capai musim ini.

“Perbelanjaan besar yang kami laburkan ketika tempoh perpindahan pemain
meningkatkan jangkaan semua pihak dan kami perlu memenuhi jangkaan berkenaan.
Sudah lama kami tidak hadapai tekanan sehebat ini.

“Kami akan bermain seperti biasa untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara
 memandangkan kami gagal melaksanakannya musim lalu. Kami mahu mempamerkan
 aksi lebih baik musim ini.” Erik Lamela sudah sedia untuk diturunkan buat kali pertama
 di White Hart Lane selepas perpindahannya dari Roma manakala Christian Eriksen yang
 dibeli dari Ajax turut mengharapkan namanya tersenarai dalam skuad utama.

Bagaimanapun, pertahanan Romania, Vlad Chiriches tidak boleh bermain kerana
 masih belum mendapat permit kerja di England.

Lamela baru pulang selepas membantu negaranya, Argentina pada saingan kelayakan
Piala Dunia.

“Dia mungkin berdepan sedikit masalah untuk menyesuaikan diri kerana bahasa
Inggerisnya tidak baik,” kata Villas-Boas.

“Dia perlu segera menyesuaikan diri dengan budaya serta cara berfikir orang Inggeris
dan saya yakin dia boleh melakukannya cuma kami tidak tahu berapa banyak masa
 diperlukan untuk itu.” Seorang lagi pemain yang tidak akan berada di White Hart Lane
malam ini ialah Emmanuel Adebayor kerana penyerang itu masih di Togo untuk
menghadiri majlis pengebumian abangnya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/14

0 comments: